Rasa kasih, sayang dan cinta bukan satu perjudian untuk menentukan menang atau kalah tapi ia adalah ikatan hati yang menentukan nilai satu perhubungan, kesetiaan dan ketulusan.
Bukan sedikit orang yang menganggap remeh persoalan cinta. Cinta selalu dikaitkan dengan mereka yang tiada pendirian teguh dalam hidup. Itu silap, cinta penting lantaran ia anugerah ILAHI untuk setiap hamba-NYA. Sesiapa yang mendapat cinta akan merasai nikmatnya hidup. Sesiapa yang gagal mendapat cinta akan merasakan hidupnya kosong.
Cinta itu penting, maka itu bukan manusia saja ada perasaan cinta. Haiwan turut bercinta dalam maknanya yang berbeza. Haiwan dihantui cemburu, marah, dengki, khianat dan juga curang, manusia betapatah lagi. Unsur-unsur inilah yang menjadikan cinta sesuatu yang sangat menyakitkan meskipun pada asalnya ia menjanjikan keseronokan, kenikmatan, kebahagiaan, persefahaman dan lain-lain yang membawa makna serupa.
Cinta itu penting kerana dengan cintalah manusia mendapat kekuatan untuk membuktikan sesuatu. Dengan cinta manusia sanggup memanjat gunung, menuruni lurah, menyeberang lautan, malah kadangkala berdepan dengan singa lapar. Begitulah hebatnya penangan cinta. Tatkala ia menyelubungi hati, seluruh alam kelihatan indah, padahal pada waktu itu hari telah diselubungi gelap.
Cinta boleh mencerahkan yang kedam malah kadang-kadang memberi warna pada kehitaman. Hebatnya cinta hingga ada orang tidak berasa lapar walaupun tidak makan berhari-hari. Dia sanggup mempertaruhkan dirinya demi cinta. Dia sanggup berdepan dengan apa saja. Cinta adalah motivasi terulung dan teragung baginya.
Begitulah hebat dan berkuasanya cinta. Sayang, sesetengah orang menjadi semakin lemah oleh cinta. Cinta menjadikannya semakin malas hendak berusaha. Apabila cintanya bermasalah atau mati di tengah jalan dia hilang haluan. Dia menyeksa dirinya sendiri dengan berasa sedih.
Kesedihan itu sendiri masih boleh diterima. Maklum, namanya pun manusia, dibekali emosi yang sering berubah-ubah mengikut situasi apa yang didepaninya. Bersedih itu salah satu sifat semula jadi manusia, tetapi jika terlalu sedih ia mencabar tahap normal seseorang manusia.
Lihatlah kisah Laila dengan Qais dalam filem “Laila Majnun”. Setelah pinangan Qais ditolak lantaran miskin, Qais hilang ‘kejantantannya’. Saban hari dia menangis dan merindui Laila dan duduk merempat di birai masjid. Dirinya semakin tidak terurus. Apa yang terkeluar dari mulunya hanya “Laila… Laila… Lailaaaa…”
Akhirnya tampil diri Qais tidak ubah seperti seorang yang gila. Dia diejek oleh kanak-kanak, kadang-kadang ada yang membalingnya dengan batu. Masih hatinya tidak terbuka untuk membuktikan sesuatu.
Lihatlah betapa cinta boleh menjadi manusia begitu bodoh dan tolol sekali. Andainya sungguh Qais inginkan Laila, sepatutnya dia tinggalkan kampung berkenaan dan kembali dengan setimbun harta, sebab itu pun syarat yang diberikan oleh ayahanda Laila. Dengan menangis dan merayu, itu hanya meruntuhkan martabatnya sebagai seorang lelaki, yang sepatutnya kuat dan tuntas jiwa.
Cinta itu penting tetapi usah terlalu dipentingkan. Apabila cinta terlalu dipentingkan, yang lain-lain akan nampak tidak penting. Jadikan cinta booster dalaman untuk membina kejayaan dan kecemerlangan. Keterbilangan kita kadang-kadang ditentukan oleh rasa cinta kita, tetapi kadang-kadang ketewasan kita juga ditentukan oleh perasaan cinta kita.
No comments:
Post a Comment